Nor Azmiza Ahmad Juara Gadis Impian Remaja Dunia Herbs!!
Setelah dua bulan menanti, akhirnya pencarian Gadis Impian Remaja Dunia Herbs sampai ke kemuncaknya. Majlis akhir yang penuh gilang-gemilang ini berlansung di restoran Saloma Bistro Ampang, Kuala Lumpur. Selain daripada kemuncak pertandingan, pihak Dunia Herbs dan Remaja turut meraikan para tetamu dalam majlis sambutan Aidilfitri 2010.
Kesemua 15 finalis tampil anggun dengan sepersalinan serba indah lagi menawan tajaan Galeri Ratu hasil rekaan Ezuwan Ismail. Setiap peserta turut mengenakan dua pasang busana yang berwarna hijau dan juga putih.
Setelah melalui sesi memperkenalkan diri dan ujian IQ, Mahkota Pencarian Gadis Impian Remaja Dunia Herbs akhirnya telah dinobatkan kepada Nor Azmiza Ahmad yang berasal dari Pahang Darul Makmur. Gadis bertudung yang masih berusia 17 tahun ini turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.00 tajaan Dunia Herbs, tiara, jambangan bunga, selendang dan pakej percutian Universal Studio, Singapura 3 hari 2 malam untuk dua orang tajaan Poto Travel.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis evergreen seperti Nassier Wahab, Ramlah Ram dan Ameng Spring. Turut sama mengadakan persembahan, artis yang semakin meningkat naik iaitu Alyah yang popular dengan lagunya ‘Tak Mungkin Kerana Sayang’.
Antara tetamu yang hadir ialah Encik Rushdi Abdullah (Ketua Pegawai Eksekutif Dunia Herbs), Encik Wan Rosdi Wan Jaafar (Pengarah Urusan Dunia Herbs) Puan Firdaus Dato’ Hussamuddin iaitu Pengarah Eksekutif (Penerbitan) Kumpulan Media Karangkraf dan Cik Nora Danish iaitu pelakon, model dan pengacara merangkap duta produk Dunia Herbs. Tidak ketinggalan juga para stokis Dunia Herbs. Kepada pemenang, tahniah diucapkan dan kepada kesemua finalis pertandingan, semoga terus berjaya pada masa akan datang. – Ju Munira Dahari (NONA)

