Dunia Herbs Teroka Pasaran Timur Tengah
Jalin Kerjasama Strategik Dengan Syarikat Di Arab Saudi.
DuniaHerbs Sales & Marketing Sdn. Bhd. pengeluar losen berasaskan pati halia, bakal mengukuhkan jenamanya dengan meneroka pasaran Timur Tengah, Ogos ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rushdi Abdullah berkata, kerjasama strategik melibatkan Best Product Establishment di Arab Saudi yang bertindak sebagai syarikat tunggal dan rakan pengedar jenama DuniaHerbs bagi pasaran Timur Tengah.
“Untuk permulaan, 500,000 unit produk ini akan dipasarkan di sana”, katanya selepas memeterai perjanjian persefahaman bagi tujuan itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurutnya, walaupun berjaya meneroka pasaran luar seperti Indonesia, Singapura dan Brunei, syarikat juga giat mengukuhkan jenama bagi pasaran domestik.
“Sepanjang tahun ini, kami membelanjakan RM2 juta hingga RM3 jutauntuk tujuan promosi dan pengiklanan. Kami menggunakan pelbagai saluran untuk promosi dan sambutan yang diberikan cukup memberangsangkan dengan jualan kini mencecah RM2 juta sebulan”, katanya.
Rushdi berkata, syarikat mempertaruhkan losen pati halia untuk dieksport kerana ia paling laris dan berjaya dijual pada purata 50,000 unit sebulan.
“Produk sulung kami mendapat sambutan hangat sejak dilancarkan pada 2005 dan kami berhasrat memperkenalkan 10 produk baru sepanjang tahun ini dan dua tahun akan datang.
Kini Ada 12 produk DuniaHerbs dengan bilangan penngedar mencecah 700 hingga 800 orang di seluruh negara”, katanya.
Menurutnya, pasaran tempatan digerakkan dengan 40 stokis seluruh negara selain diedarkan di rangkaian farmasi dan pasaraya seluruh negara.
“Stokis perlu ada modal awal sekurang-kurangnya RM50,000 manakala tiada had minimun bagi pengedar”, katanya.





